Monday, November 2, 2009

LOMPAT KIJANG

LOMPAT KIJANG
Adalah dipercayai bahawa acara lompat kijang bermula pada abad ke-19 di Ireland. Kali pertama acara lompat kijang diperlihatkan adalah apabila pelompat melakukan dua kali lompatan dengan menggunakan sebelah kaki yang sama, sebelum melakukan lompatan seperti acara lompat jauh. Ini bermakna, acara lompat kijang ini adalah gabungan acara lompat jauh dengan lompatan seperti gaya seekor kijang. Versi terawal ini dipertandingkan pada Sukan Olimpik moden tahun 1896 di Athens, Greek.

Pada peringkat awal, lompat kijang dikenali sebagai hop, step, and jump dan kemudiannya ditukar namanya kepada triple jump. Ciri-ciri pelompat kijang adalah hampir sama dengan peserta pelompat jauh. Antaranya ialah kepantasan serta kuasa lonjakan (spring) yang baik. Secara amnya pelompat-pelompat antarabangsa adalah bertubuh tinggi, berkaki panjang dengan kelembutan yang baik. Kelengkapan atlet termasuk seluar pendek, singlet dan kasut lari. Kasut yang digunakan hendaklah memberi sokongan yang baik kepada tumit kaki. Pita pengukur juga disediakan untuk menetapkan jarak landas lari.

Acara lompat kijang terdiri daripada tiga jenis pergerakan yang berlainan ; iaitu berjingkat (hop), melangkah (step) dan melompat (jump). Teknik melakukannya ialah berjingkat (hop) dengan kaki yang terkuat (kiri), setelah kaki kiri mendarat disusuli dengan melangkahkan kaki kanan ke depan dan dengan kaki kanan ini pula gerakan melompat dilakukan. Akhirnya pelompat mendarat dengan kedua-dua belah kaki di kawasan mendarat.

No comments:

Post a Comment